KUD 2017

PETALING JAYA: Karnival Usahawan Desa 2017 (KUD 2017) yang dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu depan, menyasarkan potensi jualan dan unjuran tempahan bernilai RM13 juta.

 

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata karnival yang akan berlangsung selama empat hari bermula 19 Oktober hingga 22 Oktober itu turut akan menghimpunkan seramai 700 usahawan luar bandar di seluruh negara.

Katanya, KUD 2017 yang bertemakan ‘Usahawan Desa Produk Global’ akan memberi tumpuan khusus kepada usaha memperluaskan akses pasaran produk atau perkhidmatan luar bandar ke bandar, seterusnya ke luar negara.

“Berbeza dengan 2015, kali ini kita memperkenalkan ‘Trade Day’ iaitu platform jaringan perniagaan antara pihak industri bersama hypermarket, pemasar dan pembeli bersama usahawan.

“Aktiviti perniagaan ke perniagaan (B2B) diberi tumpuan khusus bagi membantu usahawan yang menyertai KUD 2017 memperoleh sekurang-kurangnya tiga jaringan perniagaan dan bukan hanya tertumpu pada hasil jualan semata-mata.

“Selain itu, kita menggiatkan kempen produk baharu dan penjenamaan produk luar bandar menerusi kempen pemasaran iaitu ‘street marketing’ untuk usahawan luar bandar bersemuka dengan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Prapelancaran KUD 2017 di pekarangan Sri Pentas, Bandar Utama, di sini, hari ini.